Bek kental Melaka United, buat pusingan U

Bek kental Melaka United (MU), Akmal Zahir membuat pusingan U untuk kekal mewakili pasukan terbabit musim depan walaupun menerima tawaran beberapa pasukan.

Katanya, sebelum ini dia mengakui dalam dilema untuk meneruskan kontrak bersama Melaka selepas mendapat pelawaan menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang bagi saingan musim 2022.

Menurutnya, dia mengakui hatinya lebih berat untuk menyertai negeri kelahiran Kedah ketika itu namun selepas membuat penilaian semua dan mendapat pandangan ahli keluarga dia akhirnya mengambil keputusan kekal di bumi bersejarah berkenaan.

Malah dia yang baharu melangsungkan perkahwinan menjelang pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City (KL City) bulan lalu juga mengakui jika kekal di Melaka jaraknya dengan keluarga dan isteri lebih dekat.

“Ia berikutan isteri bekerja di Seri Kembangan, Selangor dan saya bersama Melaka justeru ia memudahkan urusan kami.

“Dalam masa sama pengurusan dan barisan kejurulatihan juga menunjukkan minat dan kesungguhan tinggi untuk saya kekal bersama skuad Hang Tuah musim depan,” katanya.

Malah, dia mengakui Melaka bakal menjadi antara pencabar terkuat Liga Malaysia 2022 menerusi kehadiran pemain baharu berwibawa menerusi gabungan pemain mantap musim ini.

Justeru, dia sudah melepasi tempoh bertenang dengan membuat keputusan untuk menabur bakti bersama Melaka selepas terkilan pasukan terbabit gagal ke final Piala Malaysia berikutan tewas menerusi sepakan penalti kepada KL City.

Akmal jelas bertekad untuk tampil lebih cemerlang dalam skuad berkenaan dengan keazaman lebih tinggi bagi merekod kejayaan gemilang walaupun tanpa rakan pertahanannya dari Korea Selatan, Jang Suk Won yang sah menyertai KDA kali ini.

sumber : arena metro

Akmal mula menyertai Melaka pada 2020 dan sebelumnya menyarung jersi UKM FC 2018-2019.