Bakal menyarung jersi pasukan gergasi Liga Malaysia musim depan ?

Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suhaimi Husin menafikan dia bakal menyarung jersi pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Malah katanya, setakat ini dia tidak dihubungi mana-mana pihak daripada pasukan berkenaan selain tiada makluman rasmi daripada majikannya berhubung perkara itu.

Lagipun menurut pemain berusia 27 tahun kelahiran Felda Selasih, Besut itu, dia pun sudah menyambung kontrak bersama pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan.

Bagaimanapun penjaga gol yang memulakan kariernya dengan kelab Hanelang FC dari Terengganu pada 2014 sedia mempertimbangkan tawaran jika skuad Harimau Selatan itu benar-benar serius untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

“Setakat ini saya tidak dihubungi mana-mana pihak daripada pasukan JDT, lagipun saya sudah menandatangani kontrak bersama TFC.

“Tapi jika ada tawaran rasmi daripada pasukan Harimau Selatan itu, saya sedia mempertimbangkan lamaran itu kerana bukan mudah untuk beraksi bersama skuad gergasi Liga M itu.

“Tapi jika tidak ada, fokus saya sudah pasti untuk membantu TFC memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia selain Piala FA serta mengintai peluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, bekas penjaga gol Terengganu FC II (TFC II) yang ‘dinaikkan pangkat’ beraksi bersama pasukan TFC musim ini selepas kec3der@an yang dialami penjaga gol skuad itu Rahadiazli Rahalim, menjelaskan ada beberapa pasukan daripada Liga Super yang mahukan khidmatnya musim depan.

sumber : arena metro

“Bagaimanapun saya terpaksa menolak tawaran itu secara baik kerana sudah bersetuju untuk kekal bersama TFC,” katanya yang akui jika tawaran berkenaan datang lebih awal mungkin dia akan memikirkan lamaran berkenaan dengan sebaik-baiknya.