Bakal Beri Pengalaman Baharu Kepada Peminat Bola Sepak Tempatan

Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Kerteh Sport City Sdn Bhd (KSCSB) hari ini menandatangani perjanjian penyerahan Stadium Mini Kerteh bagi kerja-kerja menaik taraf stadium tersebut serta menguruskannya.

KSCB adalah syarikat usahasama antara KAL Services Sdn Bhd dan juga pelabur utama projek, Red Antlers Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk projek menaik taraf dan mengurus Stadium Mini Kerteh serta pembangunan Kerteh Sports City.

Melalui perjanjian tersebut, KSCSB bertanggungjawab membina dan memasang padang sintetik bagi menggantikan padang rumput sedia ada bagi kegunaan sukan bola sepak.

Apabila siap kelak, KSCSB juga diberi tanggungjawab untuk menguruskan stadium tersebut yang akan dikenali sebagai Kerteh Sports City (Kompleks Sukan Kerteh) lengkap dengan pelbagai fasiliti lain.

Antara fasiliti yang terdapat pada Kompleks Sukan Kerteh ialah Hotel Container Kerteh FC, Megastore dan Clubhouse Kerteh FC, padang latihan standard FIFA, gelanggang futsal serta sebuah dewan badminton.

“Kerjasama dengan MPK ini adalah satu konsep “menang-menang”, di mana MPK adalah pemilik aset. Manakala KSC pula, akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan dan operasi projek, pembinaan fasiliti dan pengurusan aset, perkhidmatan kebersihan, perkhidmatan keselamatan, perkhidmatan teknikal, promosi, pengiklanan dan pengurusan acara bersama MPK.

“Berdasarkan kajian daya maju projek ini menerusi pelan pembangunan lima fasa yang kami rangka sedia, kami yakin akan mencapai objektifnya,” kata Ahli lembaga Pengarah KSC, Encik Razeman Mat Nashim.

Projek yang bernilai RM7 juta ini mempunyai 5 fasa dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2027. Beberapa penambahbaik dan proses naik taraf akan dilakukan secara berperingkat.hotel container kerteh fc

Menerusi Fasa Pertama projek tersebut, KSC akan menaik taraf padang rumput sedia ada kepada padang sintetik, memasang lampu limpah selain menaik taraf gelanggang futsal serta infrastruktur Stadium Mini Kerteh dan membina pusat komersil serta gimnasium.

“Di bawah Fasa Kedua pula, sebuah dewan badminton akan dibina di kawasan berkenaan bagi menyediakan kemudahan sukan tersebut,” kata Encik Razeman.kerteh masterplan

Manakala di bawah Fasa Ketiga, Keempat dan Kelima pula, ia melibatkan pembinaan bangunan residensi, padang latihan serta fasiliti untuk kemudahan peminat terutama tempat duduk penonton.

Apabila Fasa Pertama lengkap kelak, KSC merancang menambah baik kerjasama terutamanya dengan Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda, Fit Malaysia dan lain-lain agensi untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti khususnya di Kerteh.