‘baik tak payah main’

‘Jika dah tahu JDT juara, baik tak payah main’

Pengendali Selangor, B.Sathianathan tidak bersetuju dengan pandangan bekas pemain kebangsaan, Sherbegeth Singh (Shebby) bahawa Johor Darul Takzim (JDT) tidak akan berdepan masalah besar untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut, musim ini.

Shebby pada Jumaat menyifatkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan-pasukan seperti Selangor, Kedah dan Terengganu untuk mencabar penguasaan JDT wajar dipuji, tetapi menganggap ia masih belum memadai kerana kualiti pasukan Harimau Selatan itu terlalu jauh untuk disaingi.

Bagi Sathianathan, dia mengakui JDT pasukan lengkap yang dibarisi pemain berkualiti tinggi dan seperti biasa adalah pilihan utama untuk bergelar juara, tetapi itu bukan bermakna pasukan lain tidak boleh menyaingi mereka.

“Kita (Selangor) buat persiapan, Kedah buat persiapan, begitu juga Terengganu, Perak, Melaka, semua pasukan membuat persiapan, masing-masing sedang mengenalpasti kekuatan dan kelemahan, semua ada harapan. Kita belum cabar dia (JDT), jadi bagaimana boleh mengatakan satu pasukan itu akan menjadi juara sedangkan cabaran (liga) belum bermula.

“Dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku, banyak faktor boleh mempengaruhi, kalau sudah tahu JDT juara dan semua pasukan lain tiada harapan, lebih baik tak payah main. Kita kena letak keyakinan kita boleh cabar mereka dan saya percaya penyokong Selangor akan membantu pemain-pemain untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Sathianathan kepada BH Online.

Sathianathan ketika ini sedang giat mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi musim baru dengan beberapa perlawanan persahabatan telah diharungi, terbaru tewas 0-4 kepada juara Liga Kemboja 2019 Preah Khan Reach pada Khamis, namun pengendali itu tidak gusar dengan keputusan perlawanan sebaliknya menitikberatkan soal kecergasan serta keserasian dan persefahaman  di kalangan barisan pemain.

sumber: foxsports

Mereka akan beraksi dalam Siri Jelajah Pra Musim Asian Challenge Cup pada 18 dan 19 Januari depan di Stadium Shah Alam, yang mana melibatkan pasukan Persib Bandung (Indonesia), Bangkok United (Thailand) dan Hanoi Football Club (Vietnam).

Selangor yang menamatkan musim 2019 di tangga ketiga Liga Super akan membuka tirai Liga Super 2020 dengan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada 29 Februari sebelum melayan kunjungan Perak di gelanggang sendiri pada 7 Mac.