‘Bagilah kami peluang’

Melaka: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) wajar memberi kebenaran kepada penyokong memasuki stadium secara bersyarat sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Melaka United (KPMU), Mohd Fairuz Mohd Sirat berkata, peminat memahami situasi semasa dan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia, namun kebenaran berkenaan boleh diberikan kepada penyokong yang memiliki pas bermusim.

Katanya, apa yang lebih utama adalah pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat harus dilakukan kepada penyokong yang dibenarkan kelak.

Malah ia termasuk kepada semua pemain, pegawai, kakitangan dan siapa sahaja terbabit dengan venue perlawanan.

”Pada kami stadium wajib dibuka kepada peminat. Ianya berikutan pemain memerlukan penyokong, tambahan perlawanan bola sepak semakin layu dan suram tanpa pemain ke-12 terbabit.

”Sementara penaja sudah pasti juga lebih tertarik jika suasana lebih meriah untuk menghidupkan prestij Piala Malaysia.

”Beberapa alternatif boleh dilakukan bagi membolehkan penyokong dapat diberi peluang memasuki stadium untuk menambah kerancakan saingan Piala Malaysia.

”Jika terdapat zon merah seperti di Selangor, perlawanan boleh diadakan di luar negeri berkenaan seperti di Stadium Paroi, Negeri Sembilan atau di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput,”katanya.

Sementara itu, pengerusi kelab penyokong Demi Melaka United (DMU) Mohamad Odiyas Onan berkata, membenarkan sepuluh atau 15 peratus penonton masuk ke stadium adalah langkah terbaik bagi memeriahkan saingan piala teragung bola sepak Malaysia terbabit.

Beliau berkata, keutamaan wajar diberi kepada pemegang pas bermusim bagi menyaksikan atau jika terlalu terhad ianya boleh digilirkan namun keselamatan umum perlu dititik berat sebelum individu dibenarkan kembali ke stadium.