Bagaimana Dengan JDT?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kenapa baru-baru ini pemain mereka telah membuat pemotongan gaji sebanyak 33 peratus?

Seperti sedia maklum, JDT merupakan kelab yang tidak lagi menerima dana daripada kerajaan negeri. Sejak 2016, pemilik JDT adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim dan salah satu sumber utama kewangan mereka adalah daripada penaja.

Pasukan ini telah pun bercakap soal ‘membuat keuntungan’ sejak beberapa tahun lepas lagi dan ianya juga adalah sebahagian daripada visi TMJ dalam meletakkan sasaran nilai kelab tersebut akan mencecah RM1 bilion menjelang dua tahun akan datang.

Bagaimana ia boleh dilakukan adalah dengan mengumpulkan semua aset seperti stadium, hartanah dan fasiliti lain yang dimiliki dan dinilai oleh beberapa syarikat perakaunan.

Antara aset yang dimiliki JDT pada ketika ini ialah Ibu Pejabat JDT, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Pusat Latihan Padang Mawar, Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah serta tanah seluas 30 dan 70 ekar bersebelahan Johor Premium Outlets dan Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan membuat penilaian yang tepat dan telus, ia membolehkan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pemegang saham JDT dan mereka sudah boleh secara serius untuk bercakap soal untung dan rugi dalam industri sukan bola sepak.

Adakah pemain JDT akan terkesan dengan penangguhan liga? Mungkin ya kerana ianya telah memberi kesan kepada keuntungan kelab.

Bagaimana nasib pasukan ‘kecil’?

Bagi beberapa pasukan yang tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri seperti PJ City FC, UiTM FC, dan UKM FC, tentunya penangguhan liga ini memberikan impak yang ketara kerana mereka tidak ada sumber kewangan yang besar dan amat bergantung kepada penajaan.

Malah mereka juga tiada ‘fan base’ yang kuat dan tidak boleh berharap kepada jualan tiket perlawanan.

Timbul juga persoalan mengenai beberapa pasukan lain yang pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji seperti Melaka United, PDRM, Kelantan, Pulau Pinang dan Felda United. Mungkin sebahagiannya menerima dana daripada kerajaan negeri ataupun pihak pengurusan masing-masing, tetapi nilainya mungkin agak kecil. 

Jadi sama ada mereka mampu bertahan ataupun tidak, semuanya bergantung kepada penaja masing-masing.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman ketika dihubungi SemuanyaBOLA ada menjelaskan mengenai isu penajaan dan pemotongan gaji melibatkan pasukannya.

“Kami ini memang ada bajet [dari pihak FELDA] tetapi ianya kecil dan memanglah kami ada penaja. Tapi penaja ini juga merupakan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan, sekiranya perniagaan masing-masing merosot, kita risau juga jika mereka tarik diri atau mengurangkan jumlah penajaan yang mereka mahu berikan.

“Jadi kami pun mungkin perlu juga bincangkan mengenai pemotongan gaji dan serahkan kepada lembaga pengarah untuk memutuskan hal ini kerana dikatakan sama ada Jun atau Julai baru liga akan bermula.

“Cadangan daripada AFC supaya pasukan membuat pemotongan gaji pemain sebanyak 30 peratus mungkin kami perlu bincangkan. Tetapi saya rasa tidaklah sehingga 30 peratus” katanya.

Tambah Afizal lagi, untuk lebih adil mungkin pihaknya perlu buat pemotongan mengikut tangga gaji kerana setiap pemain sudah tentu ada komitmen dan gaji mereka di Felda United bukanlah tinggi.

“Contoh mungkin gaji RM20,000 ke RM30,000 potong 20 peratus, RM10,000 ke RM20,000 sebanyak 15 peratus, RM5,000 ke RM10,000 potong 10 peratus dan RM5,000 ke bawah cuma 5 peratus.”

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Zulakbal Abd Karim pula dalam kenyatannya kepada Harian Metro turut menjangkakan pasukan-pasukan kecil Liga Malaysia yang tidak mendapat dana dari kerajaan negeri ini amat berisiko untuk berdepan dengan masalah kewangan.

sumber: semuanyabola

“Sedangkan semasa liga berlangsung dan tidak dihentikan kerana Covid-19 pun banyak kelab kecil dan besar masih gagal menunaikan amanah membayar gaji pemain dan pegawai, inikan pula semasa liga ditangguhkan kini.

“Saya bimbang banyak syarikat swasta dan konglomerat terjejas oleh Covid-19 ini. Maka saya percaya akan ada penaja yang menarik diri daripada menaja pasukan kecil dan besar di liga kita. Justeru, pasti akan ada pasukan yang terjejas dari segi kewangan,”

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga telah berjanji akan membantu kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia yang kewangannya terkesan secara langsung dengan COVID-19.

Dengan rizab yang dimiliki badan induk bola sepak dunia itu dilaporkan sebanyak $2.7 bilion (RM11.7 bilion), menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu pasukan bola sepak di seluruh dunia untuk tidak ‘terkubur’ dan mampu berdiri bagi meneruskan saingan.