Baddrol Bukan ‘Biasa-Biasa’

ALOR SETAR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar muncul pemain paling banyak membuat hantaran atau ‘assist’ yang menghasilkan gol buat skuad Lang Merah pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Berdasarkan maklumat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Baddrol mendahului senarai hantaran gol pasukan itu dengan 14 hantaran, diikuti pemain import Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt (8) dan import kelahiran Sepanyol, Fernando Rodriguez (6).

Perkembangan ini menjadikan Baddrol boleh dianggap sebagai ‘jeneral padang’ Kedah dalam penghasilan gol dengan jumlah lapan hantaran pada saingan Piala Malaysia, lima (Liga Super) dan satu (Piala FA).

Selain itu, pemain tempatan Farhan Roslan turut memberi sumbangan dengan melakukan lima hantaran untuk gol Kedah sepanjang 2019.

Turut mencuri perhatian pemain muda Kedah berusia 22 tahun, Fadzrul Danel juga memberi sumbangan dengan tiga hantaran gol.

Melalui senarai yang diperoleh juga, semua pemain import Kedah musim 2019 terdiri daripada Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman, Renan Alves, Shakir Hamzah dan Edgar Bernhardt turut menyumbang kepada 48 gol dan membuat 21 hantaran untuk gol yang diperoleh Kedah.

Kedah melakar pencapaian membanggakan musim lalu apabila muncul juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia serta menamatkan aksi Liga Super di kedudukan keempat dengan pungutan 34 mata.

Untuk musim 2020 dengan empat perlawanan Liga Super setakat ini dan termasuk dua perlawanan aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang dilalui Kedah, pemain pertahanan, Rizal Ghazali menjadi pemain paling banyak melakukan hantaran gol iaitu dua diikuti Baddrol Bakhtiar, Kpah Sherman, Amin Nazari, Shakir Hamzah dan Azamuddin Akil masing-masing satu hantaran.