B. Satiananthan tetap memilih JDT

Sekalipun persiapan Selangor untuk Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dilihat begitu rancak dengan kemasukan beberpa pemain berprofil tinggi, ketua jurulatihnya, B. Satiananthan tetap memilih juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai calon utama untuk sekali lagi mengungguli saingan liga elit itu.

Memetik laporan Sinar Harian, Satiananthan menjelaskan beliau membuat penilaian berdasarkan pemerhatiannya yang melihat JDT masih memiliki rangkaian pemain yang berkualiti tinggi.

Tanpa membuat rombakan besar dalam pasukan, JDT dilihat sudah pun mempunyai keserasian dan persefahaman yang baik dalam pasukan dan sekaligus menjadikan mereka sebagai pasukan tumpuan pada musim ini.

“Sudah tentu JDT merupakan pasukan pilihan dan pencabar paling utama dalam saingan Liga Super musim depan. Kualiti yang dimiliki pasukan tersebut tidak boleh dipertikaikan.

“Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus dan corak permainan yang sudah semakin serasi sehingga menjadikan mereka antara pasukan terkuat dalam liga,” katanya.

Namun demikian, jurulatih berusia 61 tahun itu turut menamakan beberapa pasukan lain yang dipercayai mampu mencabar kejuaraan seperti Pahang, Perak, Kedah, PJ City FC dan Melaka United.

Menurutnya semua pasukan berkenaan perlu diawasi kerana telah menunjukkan komitmen masing-masing dalam membuat persiapan terbaik dan bersedia untuk memberi saingan kepada setiap pasukan yang bertanding.

“Pahang sendiri walaupun agak ‘senyap’ dalam persiapan pasukan tetapi saya tahu mereka sudah ada pemain untuk menggalas tanggungjawab bagi musim 2020.

“Beberapa tonggak utama mereka seperti Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies akan kekal memainkan peranan sebagai tonggak utama buat pasukan itu,” ujarnya.

Namun begitu, semua kenyataan tersebut bukanlah bermakna Satiananthan tidak yakin dengan kemampuan The Red Giants untuk menjadi salah satu pencabar utama dalam kempen Liga Super musim ini.

“Selangor memang bertekad untuk memastikan musim 2020 adalah lebih baik berbanding sebelum ini selain misi yang telah ditetapkan untuk layak ke saingan peringkat Asia pada 2021,” jelasnya.

sumber: semuanyabola

Memasuki musim keduanya bersama Selangor, Satiananthan boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sejak di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selaku presiden telah mula bertindak agresif dalam membangunkan pasukan dari segenap aspek.

Antara langkah yang dilakukan adalah membawa masuk pemain-pemain baharu yang berkualiti, menumpukan kepada pembangunan pemain bermula dari peringkat akar umbi, menambah baik kemuduhan dan fasiliti pasukan serta mendekatkan hubungan pasukan dengan penyokong.