Aubameyang tamatkan spekulasi

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang berazam untuk menjadi “legenda” Arsenal ketika kapten Gunners itu menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun malam tadi.

Masalah kontrak Aubameyang berlanjutan sejak musim lalu di sebalik spekulasi dia mahu menyertai kelab yang bermain dalam Liga Juara-Juara.

Namun peny3rang Gabon itu mendedahkan dia komited bersama Arsenal menerusi Instagram dari Stadium Emirates.

Perjanjian baharu itu dilaporkan bernilai £250,000 seminggu (RM1.33 juta) dengan bonus yang boleh memberikannya lebih £350,000 seminggu (RM1.86 juta) mengatasi pemain dibayar gaji paling tinggi di kelab, Mesut Ozil.

“Penyokong Arsenal, akhirnya seperti anda tahu saya baharu sahaja menandatangani suatu perkara,” kata Aubameyang.

Arsenal mengesahkan berita berkenaan di laman sesawang mereka dengan kenyataan: “Pierre-Emerick Aubameyang menandatangani kontrak baharu tiga tahun bersama kami!”

Selepas menjaringkan gol yang membawa Arsenal melepasi Piala FA serta final mengatasi Manchester City dan Chelsea, Aubameyang enggan mengesahkan dia mahu kekal di kelab utara London itu.

Lebih 100,000 menyaksikan pengumuman itu menerusi akaun Instagram rasmi Arsenal dengan Aubameyang berazam mengikut jejak langkah pemain terhebat Gunners seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp dan Ian Wright. – AFP