Apa Sudah Jadi Dengan Pahang

SHAH ALAM: Pahang mengalami kekalahan kedua berturut-turut musim ini selepas tunduk 3-2 di tangan PJ City dalam aksi di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Anak buah Dollah Salleh sebelum ini tewas 2-1 kepada Selangor pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Darul Makmur, 29 Februari lalu.

Pada aksi sebentar tadi, perlawanan bermula rancak dengan PJ City membuka tirai jaringan menerusi Demba Camara pada minit ke-11.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan empat minit selepas Pahang berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil sepakan penalti Dickson Nwakaeme.

Enam minit selepas bersambung babak kedua, giliran Pahang pula berada di depan selepas Ivan Carlos meledak gol kedua Tok Gajah.

Namun, PJ City kembali mengikat kedudukan pada minit ke-59 apabila R Barathkumar mudah merembat masuk bola hantaran Camara.

Ketiga perlawanan seakan bakal berakhir dengan seri, Kogileswaran muncul wira PJ City selepas meledak gol kemenangan pasukannya hasil sepakan percuma pada masa kecederaan.