Apa Motif Sebenar Kalonda?

KUALA LUMPUR: Adakah pemain dari Congo, Marcel Kalonda benar-benar bersungguh untuk mewakili negara sebagai pemain berdarah kacukan ataupun sekadar mencari peluang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M)?

Ini kerana percubaan pertahanan itu untuk menjadi pemain berdarah kacukan gagal selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan satu dokumen penting yang dikemukakan pemain itu tidak sahih menerusi semakan yang dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengulas insiden itu, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah tidak menolak kemungkinan itu apatah lagi persepsi pemain berdarah kacukan sentiasa dianggap lebih baik berbanding pemain tempatan.

“Mungkin juga dia lihat ada peluang dan dia cuba (jadi pemain kacukan). Kita pula begitu ghairah terhadap pemain berdarah kacukan di luar. Tetapi saya puji kesungguhan FAM yang membuat kajian dan semakan terlebih dahulu serta tidak mengambil maklumat ini bulat bulat.

“Sebab itulah, kita jangan terlalu terikut dengan sumber yang tidak begitu pasti. Saya pun hairan bagaimana pemain Afrika seperti itu ada pertalian darah dengan Malaysia walaupun saya tidak nafikan ada juga pemain kita yang memiliki kacukan darah Afrika.

“Tetapi yang lain itu ada dokumen yang sah, jadi tidak ada masalah berbeza dengan isu Kalonda ini. Kita harus ingat, mereka yang perlukan kita dan bukan kita yang perlukan mereka. Kalau mahu ambil, ambil pemain berdarah kacukan yang benar benar berkualiti dan sahih.

“Jika pemain berdarah kacukan yang kita sendiri tidak pasti asal usulnya sentiasa menjadi tumpuan, saya bimbang semangat pemain kita jatuh kerana nampak seperti kita mengagungkan mereka,” katanya.

Terdahulu, insiden terbabit seharusnya menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak begitu ghairah untuk mengejar pemain berdarah kacukan ataupun pemain naturalisasi.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir menegaskan FAM sudah tentu harus lebih berhati-hati selepas ini mengenai sebarang maklumat yang mengaitkan mana-mana pemain dengan negara ini namun tindakan FAM yang mendapatkan kepastian daripada pihak berwajib disifatkan sebagai satu tindakan yang bijak.

Bagaimanapun, bekas pertahanan kebangsaan itu mengharapkan ‘peristiwa hitam’ ini tidak menutup pintu kepada mana-mana pemain berdarah kacukan untuk mencuba nasib bersama skuad negara selepas ini.