Anak Bekas Pemain Import Sarawak berminat Menyertai Harimau Malaya?

Anak kepada bekas pemain import Sarawak, Billy Bone iaitu Samuel Bone dilihat berminat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Baru-baru ini, menerusi laman Instagram Story Samuel, pemain berusia 21 tahun yang dilahirkan di Kuching, Sarawak itu bertanyakan kepada peminat sama ada mereka bersetuju jika beliau menyarung jersi Malaysia.

Samuel merupakan pemain pertahanan tengah namun beliau juga boleh diletakkan sebagai pemain tengah. Mempunyai ketinggian 1.83 meter, Samuel merupakan graduan daripada kelab England, Charlton FC.

Setelah meninggalkan Charlton pada 2017 lalu, pemain yang mesra dipanggil Sam ini menyertai kelab divisyen pertama Ireland, Shamrock Rovers dimana beliau beraksi bersama kelab itu selama satu setengah musim.

Pada awal musim 2019/2020, Samuel Bone meninggalkan Shamrock dan menyertai satu lagi kelab Ireland, Waterford FC. Menurut data yang diambil daripada Transfermarkt, Sam membuat empat penampilan dalam saingan SSE Airtricity League Premier Division dan menjaringkan satu gol.

Seorang lagi pemain yang menunjukkan minat untuk beraksi bersama Malaysia ialah Marcel Kalonda, pemain pertahanan yang dilahirkan di Sabah.