AMD Malaysia Cougars juara B-14 Piala Supermokh 2019

GAMBANG: Pasukan AMD Malaysia Cougars mempamerkan ‘belang’ tersendiri apabila membenam rakan seperguruan, AMD Malaysia Panthers 7-2 pada aksi final bawah -14 (B-14) Piala Supermokh 2019 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), di sini, sebentar tadi.

Penguasaan penuh permainan ditunjukkan AMD Malaysia Cougars selepas mereka langsung tidak memberi laluan mudah kepada AMD Malaysia Panthers apabila mudah mendahului 4-1 sehingga tamat babak pertama.

Bagaimanapun, AMD Malaysia Panthers cuba merapatkan jurang dengan gol kedua sejurus babak kedua bersambung namun jaringan terbabit jelas membakar semangat AMD Malaysia Cougars yang menyumbat dua lagi gol untuk menjadikan kedudukan 7-2..

Terdahulu, harapan Malaysia untuk merangkul gelaran hatrik pada aksi Piala Supermokh 2019 tidak kesampaian apabila wakil negara bagi kategori Bawah 13 tahun (B-13), AMD Malaysia Cougars kecundang 2-0 di tangan wakil Thailand, Buriram United.

Terikat 1-1 pada aksi peringkat kumpulan, Buriram United menunjukkan aksi lebih kemas di pentas final dengan Klitaphas Pnooyaem meledak gol pada minit ke-47 sebelum Pongpan Pongwarin mengecewakan wakil negara dengan gol kedua pada minit ke-70.

Satu lagi aksi sebelah petang menyaksikan NFDP Malaysia Panthers jelas sama sekali tidak memberi muka meskipun bertemu pasukan senegara apabila mereka menewaskan NFDP Malaysia Cougars dengan keputusan 3-0.

Muhd Aisy Al Hakim Hasnizam meledak gol pendahuluan buat NFDP Malaysia Panthers pada minit ke-28 disusuli jaringan Nor Azim Assyakirin Azman pada minit ke-32 dan jaringan lewat permainan Airil Izzan Azri melengkapkan kemenangan bergaya NFDP Malaysia Panthers.