Akur Jika ‘bungkus’ Awal

PEMAIN sayap Terengganu FC (TFC), D Saarvindran akur jika Liga Malaysia (Liga M) musim ini ‘bungkus’ awal susulan wabak pandemik Covid-19.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keselamatan pemain, pegawai dan juga ribuan peminat setia perlu menjadi keutamaan bagi memastikan mereka selamat selain rantaian pandemik itu dapat diputuskan dengan segera.

Namun pemain baharu skuad Penyu itu mengharapkan akan ada keputusan menang-menang antara pemain dan persatuan bolasepak negeri berhubung gaji mereka demi kelangsungan hidup sekiranya Liga M terpaksa dibatalkan musim ini.

Pemain yang menyarung jersi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) musim lalu itu bagaimanapun tetap meletakkan harapan yang tinggi agar Liga M dapat kembali bersambung semula selepas pandemik ini benar-benar pulih sepenuhnya.

“Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pihak kerajaan adalah tepat bagi memastikan rantaian wabak pandemik itu dapat dibendung, begitu juga arahan terbaharu daripada kerajaan tidak membenarkan sebarang pertandingan bola sepak diadakan biarpun selepas tempoh PKP tamat kerana melibatkan permainan berkumpulan.

“Tapi jauh dari sudut hati saya mengharapkan Liga M kembali bersambung semula sekiranya wabak ini benar-benar pulih biarpun beraksi dalam stadium yang kosong.

“Namun seandainya liga terpaksa dibatalkan, kami mengharapkan pihak persatuan dapat memperhalusi sebaik-baiknya berkenaan dengan gaji pemain secara menang-menang mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak sehingga berakhir kontrak.

“Ini kerana kesannya bukan sahaja kepada pemain itu sendiri malah impaknya juga kepada keluarga kerana kamipun memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi bola sepak adalah satu-satunya sumber pendapatan kami, lebih parah yang mempunyai tanggungan terhadap ibu bapa.

“Lagipun kerjaya bola sepak tidak lama, jika seseorang pemain itu cedera ataupun prestasinya menurun, sudah pasti tiada tempat lagi buat mereka untuk mencari makan dalam bidang ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah pemain bersedia pada bila-bila masa jika mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan untuk liga bersambung semula, pemain berusia 28 tahun itu akui tetap bersedia untuk turun ke padang kerana mereka juga melakukan senaman harian di rumah.

“Namun begitu kami memerlukan masa sekurangnya-kurangnya tiga minggu untuk membentuk strategi dan persefahaman semula bersama pasukan kerana pastinya pemain tidak akan berada pada tahap kecergasan fizikal dan mental yang maksimum 100 peratus seperti yang diharapkan,” katanya.