Akhirnya Terpaksa Memohon Sumbangan Orang Ramai

BAGI menyelamatkan masa depan bola sepak di bumi Kelantan daripada terkubur, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akhirnya terpaksa memohon sumbangan orang ramai khususnya penyokong setia skuad The Red Warriors.

Kutipan sumbangan itu bagi membayar tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh sebulan yang akan berakhir pada 23 Mei ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, sumbangan orang ramai itu amat diperlukan bagi menyelamatkan bola sepak di negeri itu yang kemungkinan boleh digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya gagal melunaskan tunggakan setengah juta itu.

“KAFA tidak mempunyai banyak masa, tambahan pula Liga Malaysia (Liga M) direhatkan kerana pandemik Covid-19 dan kini berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyukarkan pihak persatuan untuk mendapat sumber kewangan mencukupi membayar tuntuntan sejumlah itu.

“Ditambah lagi segala urusan niaga bersama rakan kongsi termasuk jualan jersi terhenti di masa ini, dan bakal penaja yang dijadualkan akan bersama kita Jun ini juga mengambil langkah berdiam diri.

“KAFA memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong bola sepak Kelantan untuk menderma kepada KAFA seberapa yang mampu secara atas talian ke nombor akaun bagi membolehkan KAFA membayar segala tuntutan yang diarahkan oleh FIFA,” katanya.

Menerusi satu-satunya pendedahan oleh Arena Metro sejak Rabu lalu, masa depan KAFA diibaratkan seperti telur dihujung tanduk apabila FIFA mengarahkan untuk membayar segara tunggakan gaji Cassio yang pernah beraksi selama dua musim pada 2018-2019.

Sekiranya Kelantan gagal, kes berkenaan akan diheret ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang kemungkinan boleh digantung daripada segala aktiviti bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seperti mana yang dilalui oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Sebelum ini, PFA disahkan sudah digantung kerana kegagalan membayar tunggakan gaji pemain import sekali gus tidak boleh menjalankan operasi termasuk melaksanakan liga di peringkat negeri, bertanding dalam saingan Liga Malaysia dan lain-lain.

Menerusi surat edaran yang disampaikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada KAFA bertarikh 28 April itu, faedah lima peratus turut dikenakan dengan jumlah setengah juta itu pastinya memberi tekanan besar buat pasukan Kelantan.

Selain itu, badan induk dunia itu mengharamkan Kelantan daripada membeli mana-mana pemain sama ada tonggak import atau tempatan untuk selama dua jendela perpindahan secara berturut-turut.

“Sekiranya KAFA tidak dapat menjelaskan apa juga tuntutan yang diarahkan oleh FIFA, ia akan merumitkan persatuan untuk membentuk pasukan bersaing di Liga Perdana dan berkemungkinan KAFA akan dikenakan tindakan lebih berat.

sumber: HM

“Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa kepada penyokong. Resit derma juga boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-9283293.

“Dengan rasa rendah diri KAFA merayu serta menagih simpati pada semua untuk membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh dilakukan secara atas talian ke akaun Maybank KAFA (nombor akaun-5530 1063 0676).