Akhirnya Terjawab

TEKA-teki agihan dana kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) akhirnya terjawab apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pemberian RM1 juta kepada 12 pasukan Liga Super manakala RM500,000 buat 12 pasukan di Liga Perdana musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang mengesahkan jumlah itu berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20 yang menyaksikan agihan keseluruhan buat semua pasukan berjumlah RM18 juta.

Katanya, berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada rakan kongsi liga ditentukan ahli lembaga pengarah jika pendapatan penajaan kurang atau melebihi RM18 juta.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan itu, pemberian agihan kepada 24 pasukan dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih MFL.

“Berdasarkan pendapatan diraih MFL khususnya menerusi penajaan setakat ini, insya-Allah kami membuat agihan pendapatan penajaan sejumlah RM18 juta keseluruhan kepada semua rakan kongsi liga.

“Semua rakan kongsi liga sedia maklum mengenai agihan menerusi taklimat yang kami adakan hari ini (semalam) bagi menjelaskan mengenai pendapatan serta perbelanjaan operasi MFL musim ini.

“Sebagai rakan kongsi liga, mereka faham agihan diterima berdasarkan pendapatan MFL tahun ini dan mengikut kontrak perjanjian bersama rakan kongsi liga,” katanya yang turut dilantik secara tetap dalam mesyuarat sama selepas memangku jawatan berkenaan sebelum ini.

Untuk rekod, dua tahun lalu setiap pasukan Liga Super meraih RM3 juta dan RM1 juta untuk Liga Perdana.

Terdahulu, badan penganjur liga tempatan itu berjaya mendapatkan dua penaja utama Liga M musim ini iaitu Telekom Malaysia (TM) yang menjadi penyiar rasmi dan penaja utama Piala Malaysia selain penaja bersama syarikat perbankan negara, CIMB untuk Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Cabaran.

Difahamkan, TM bersetuju menaja selama tiga tahun dengan nilai RM30 juta manakala CIMB dengan RM10 juta bagi dua musim.

Menurut Ghani, pihak MFL juga memaklumkan kepada pasukan mengenai perubahan struktur pembayaran pendapatan itu yang dibuat pada penghujung musim bermula tahun depan.

“Insya-Allah kami menyerahkan agihan pendapatan kepada rakan kongsi liga musim 2020 ini pada minggu depan. Saya percaya ini membantu kewangan pasukan.

“Kami juga membuat keputusan menyerahkan agihan dana pendapatan bagi musim 2021 kepada rakan kongsi liga pada hujung musim 2021 selaras agihan dana tajaan daripada TM kepada MFL yang dibuat TM dalam dua peringkat iaitu pada awal Januari 2021 dan awal Jun 2021 seperti tercatat dalam perjanjian tajaan.

“Ini bagi memastikan MFL menyerahkan agihan pendapatan tahunan selepas mengambil kira keseluruhan tajaan dan kos pengurusan. Apa yang ingin dilaksanakan MFL juga amalan pengurusan liga luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol) dan JLeague (Jepun),” katanya.