Akhirnya status Safee Sali terjawab

KUALA LUMPUR: Penyerang berpengalaman, Safee Sali dan bekas pemain Kedah, Hadin Azman sah akan memperkuatkan pasukan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim KLUFC, Stanley Bernard menyifatkan dua pemain itu mampu menjadi aset penting kepada pasukan sama ada di dalam atau pun luar padang.

“Saya tidak nafikan beliau boleh menjadi aset kepada pasukan Kuala Lumpur sama ada di dalam padang, nilai komersial dan dari segi segalanya yang Safee ada. Dia antara penyerang terbaik dalam dekad ini.

“Saya lihat dari segi Hadin, kalau kembali kepada prestasi terbaiknya pada 2018 di FELDA United, dia berjaya kekalkan pasukan itu dalam Liga Super. Bagi saya kalau dia dapat kembalikan prestasinya, kita mempunyai satu aset di sini yang mengetahui liku Liga Super,” katanya selepas sidang media pengenalan Safee dan Hadin, di sini, hari ini.

Safee yang bakal menjangkau usia 37 tahun musim depan mengakui teruja untuk kembali semula ke pangkuan pasukan Kuala Lumpur selepas 15 tahun terpisah.

“Saya cukup bangga berada di stadium ini, pasukan Kuala Lumpur memiliki sejarah yang besar sebelum ini dan saya harap untuk tahun depan saya akan cuba membantu Kuala Lumpur menjadi pencabar kepada pasukan lain dalam Liga Super,” katanya yang menandatangani kontrak setahun bersama KLUFC.

Sementara itu, Hadin pula menyifatkan visi yang dimiliki pasukan ibu kota itu menjadi faktor dia membuat keputusan menyarung jersi Kuala Lumpur dengan kontrak dua tahun.