Selepas JDT Mendapat Kelulusan

Aidil Zafuan Abd Radzak meluahkan rasa puas apabila dapat bertemu kembali dengan semua rakan sepasukan dan jurulatih JDT bagi mengadakan sesi latihan pertama selepas tiga bulan terpisah.

Ini selepas JDT mendapat kelulusan MFL untuk menjalani latihan pertama di pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam.

“Latihan pertama saya dengan JDT berjalan dengan lancar. Tiga bulan selepas tidak dapat berlatih bersama, bagi saya berjumpa dengan kembali rakan sepasukan memang satu menggembirakan tetapi dalam masa sama perlu menjaga batas agar tidak melanggar SOP.

“Mungkin banyak perkara kita perlu ikuti dengan penuh berhati-hati terutama dari segi penjarakan dan tidak boleh bersentuhan semasa melakukan latihan.”

Pertahanan JDT berusia 33 tahun itu turut mengakui bahawa ia merupakan satu permulaan yang baik dan perkembangan itu memberi petanda baik untuk musim ini.

“Situasi kebenaran berlatih lebih awal ini cukup positif kepada perkembangan liga kita selain skuad kebangsaan kerana ia akan membantu jurulatih mendapatkan pemain yang cergas bagi hadapi aksi di peringkat antarabangsa,” katanya.