pemain berdarah kacukan pertama di AMD

Aidiel Zacharia Firdaus Nelson Abdullah akan menjadi pemain berdarah campuran pertama yang diserap ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bermula tahun depan, tatkala akademi pembangunan akar umbi terbesar negara itu bercadang merekrut lebih ramai pemain berdarah campuran di masa akan datang.

“Kita luaskan pencarian bakat cilik dari kalangan pemain berdarah kacukan di peringkat akar umbi di seluruh negara, ia selari dengan pelan F:30 FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kami mengambil langkah awal dalam mengesan bakat mereka.

“Bakat serta potensi menjadi keutamaan sebelum mereka ditawarkan menyertai AMD dan Aidiel Zacharia menepati standard yang telah ditetapkan bagi memastikan halatuju melahirkan pemain berkualiti,” kata Pengurus Besar AMD, Muhammad Yusuf Ibrahim.

Sebagai rekod, Aidiel Zacharia merupakan pemain berdarah campuran Malaysia-Nigeria berusia 12 tahun dan bakatnya mula dikesan pasukan pemantau bakat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) ketika mewakili Kuala Lumpur B-12 pada tahun lalu.

Dia dihadiahkan peluang menjalani latihan percubaan bersama pasukan AMD di Gambang dan baru-baru ini telah menjadi salah seorang tonggak yang membantu skuad NFDP Panthers bimbingan Datuk Richard Scully menjuarai Piala Supermokh B-12 dengan menewaskan NFDP Malaysia Cougars 3-0 dalam aksi final.