Afzan Bangga berjaya membenam ego Sarawak United FC

Kuala Terengganu: “Ini kemenangan paling mahal,” ujar pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali selepas anak buahnya berjaya membenam ego Sarawak United FC (SUFC), 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Lebih membanggakan bekas arkitek skuad Terengganu itu apabila pasukannya berjaya melebar rekod kemenangan selepas 14 perlawanan dengan menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas lagi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dengan kemenangan itu, skuad The Turtles kini gah di persada Liga Perdana buat kali kedua dengan mengutip 28 mata selepas sempat merasainya beberapa jam buat kali pertama pada Sabtu lalu.

“Ini kemenangan paling berharga dan mahal buat kami pada musim ini lebih-lebih lagi pasukan Sarawak begitu sukar untuk ditewaskan dengan ramai pemain mereka berpengalaman berbanding kami.

“Saya begitu berpuas hati dengan persembahan anak buah yang berjuang berm@ti-m@tian bagi mendapatkan kemenangan, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Sebelum perlawanan, saya ingatkan pemain supaya mereka anggap aksi ini perlawanan akhir dan memberi yang terbaik demi tiga mata berharga, terima kasih mereka berjaya membuktikannya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, ‘ayam tambatan’ skuad TFC II dari Ghana, Jordan Mintah meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti yang gagal diselamatkan bekas penjaga gol kebangsaan dan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kemaman itu mengingatkan anak buahnya agar tidak berasa selesa memandangkan mereka masih perlu mengharungi baki enam perlawanan lagi sebelum liga berakhir.

Sementara itu, jurulatih Sarawak United, E Elavarasan belum mahu mengibar bendera putih untuk pasukannya bergelar juara liga lebih-lebih lagi selepas kekurangan dua perlawanan lagi berbanding pasukan lain.

“Saya masih percaya pasukan kami berada pada landasan yang betul dan berpeluang berada di tangga teratas liga memandangkan kami mempunyai kelebihan dua perlawanan lagi sebelum liga berakhir.

Sumber:HM

“Jadi kita akan buat ‘post mortem’ dan perbaiki kesilapan untuk perlawanan-perlawanan akan datang, lagipun kami yakin dengan kemampuan pemain yang beraksi cemerlang menentang TFC II, cuma nasib tidak menyebelahi kami selepas tewas tipis,” katanya.