AFL beri 5 sebab Liga terpaksa dibatalkan

Amateur Football League (AFL) membuat keputusan untuk membatalkan Liga M3 bagi musim 2020 serta-merta.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) mencapai kata putus bahawa Liga M3 tidak dapat diteruskan atas faktor kesihatan dan keselamatan serta faktor kewangan.

Justeru, AFL sedang merancang mekanisme terbaik bagi membantu kelangsungan kelab-kelab berstatus amatur pada tahun hadapan.

“Penamatan kontrak atau perjanjian pemain dan pegawai pasukan harus mengikuti undang-undang negara berkaitan akta-akta kontrak selain mencapai persetujuan bersama di antara kedua pihak.

“Segala perkara berhubung Liga M3 adalah di bawah kuasa Ahli Lembaga Pengarah MFL dan sebarang pemakluman atau penambahbaikan akan dimaklumkan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL bersidang,” katanya dalam kenyataan.

Proses pengstrukturan Liga M3 yang sepatutnya bermula pada tahun 2021 akan dikaji semula secara terperinci dan pengstrukturan semula yang dirancang itu akan dibentangkan serta dimaklumkan kemudian selepas memahami keadaan pasukan-pasukan dalam mengharungi COVID-19.

MFL turut menyarankan supaya penganjur-penganjur Liga M4 untuk turut sama membatalkan penganjuran Liga M4.

Ini 5 sebab yang diberikan MFL sehingga Liga M3 musim 2020 terpaksa dibatalkan.

Masalah venue Liga M3

Dengan kebanyakan perlawanan Liga M3 yang bermain di venue secara terbuka, ia pasti menyukarkan pelaksanaan SOP bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung selepas MKN tidak membenarkan sebarang perhimpunan beramai-ramai.

Kekangan kewangan untuk persiapan SOP dan saringan COVID-19

Kewangan pasukan Liga M3 agak terhad untuk mengikuti SOP atau peralatan yang diwajibkan oleh MKN dan KKM bagi proses saringan COVID-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan turut diambil kira memandangkan ia menambahkan perbelanjaan pasukan tuan rumah.

Perlawanan Liga M3 tidak sempat dihabiskan tahun ini

Baki 16 perlawanan yang akan diharungi oleh semua pasukan tidak dapat ditamatkan pada penghujung Disember.

Ini kerana disebabkan kebanyakan pemain-pemain pasukan amatur Liga M3 adalah kakitangan kerajaan atau pihak swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu sahaja iaitu diluar waktu kerja.

Melihat kepada situasi ini, amat sukar untuk beberapa pasukan mematuhi SOP yang ketat jika liga kembali bersambung.

Penaja pasukan tidak sambung kontrak

Penaja-penaja pasukan tidak menyambung kontrak dan ada yang terpaksa undur diri gara-gara perniagaan mereka mengalami kerugian disebabkan pandemik COVID-19 sekali gus perkara ini akan membantutkan persedian pasukan dari segi kewangan.