AFC Mengumumkan Tarikh Baharu Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Skuad Harimau Malaya sudah boleh mula mengasah taringnya bagi mempersiapkan diri untuk kembali ke ‘medan peperangan’ selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan tarikh baharu perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini.

Baki tiga perlawanan yang perlu dihadapi oleh skuad kebangsaan yang sepatutnya berlangsung pada Mac dan Jun telah digantung susulan pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia.

Menurut laporan Bernama, AFC membuat keputusan untuk melaksanakan baki perlawanan pusingan kedua kelayakan tersebut pada Oktober dan November selepas membuat perbincangan dan perancangan rapi dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perlawanan tujuh dan lapan akan diadakan pada 8 dan 14 Oktober manakalah perlawanan 9 dan 10 pula akan dilangsungkan pada 12 dan 17 November untuk memastikan semua perlawanan pusingan kedua dapat ditamatkan sebelum Disember tahun ini.

Penjadualan itu bagi memastikan pusingan kelayakan seterusnya untuk kedua-dua kejohanan dapat dimulakan pada Mac 2021 seperti mana tarikh yang telah pun ditetapkan dalam kalendar antarabangsa FIFA.

“AFC akan terus memantau rapat situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai, peminat dan pemegang taruh selain akan memaklumkan semua pihak jika ada keperluan semakan semula jadual perlawanan susulan kesan pandemik COVID-19,” kata AFC dalam kenyataannya.

Berdasarkan penjadualan baharu ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 8 Oktober dan kembali ke tanah air untuk menyambut kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober.

Seterusnya skuad negara akan terbang ke Bangkok untuk mengakhiri kempen kelayakan pusingan kedua ini untuk menghadapi Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok pada 17 November.

Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan seterusnya dengan berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata selepas meraih tiga kemenangan daripada lima perlawanan yang sudah berlangsung.

sumber: semuanyabola

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran untuk skuad negara meraih sekurang-kurangnya empat mata daripada tiga baki perlawanan bagi mencerahkan peluang untuk mendapatkan slot ke pusingan akhir kedua-dua kejohanan tersebut.

FAM juga sebelum ini memaklumkan pihaknya berdepan kesukaran untuk mengatur perlawanan persahabatan buat skuad kebangsaan dengan negara lain disebabkan peraturan ketat dan tahap pelaksanaan keselamatan yang berbeza bagi setiap negara termasuk sekatan perjalanan yang dilaksanakan di seluruh dunia ketika ini.