Adik Wan Kuzain Bakal Perkuat Skuad B-19 Negara?

Stadium Astro dalam laporannya pada Rabu mendedahkan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara bakal disertai oleh seorang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat menjelang Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan pada Oktober depan.

Pengurus pasukan kebangsaan B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahaer mengesahkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dalam usaha untuk membawa pulang pemain itu bagi memperkuatkan skuad bimbingan Shaun Maloney di kejohanan tersebut.

Bagi merintis kemungkinan layak ke Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahu depan, Malaysia perlu mendapatkan pemain terbaik yang dapat membantu pasukan negara muncul empat pasukan terbaik.

Kamarul dalam kenyataannya menjelaskan, pemain muda berbakat itu kini sedang beraksi bersama sebuah kelab di negara ‘Uncle Sam’ tersebut dan kini pihaknya sedang berusaha untuk menguruskan segala hal terutamanya melibatkan hal dokumentasi.

“Kami masih lagi menghormati situasi pemain tersebut untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia. Dia tidak bermasalah dalam hal ini dan kedua-dua ibu bapanya berasal dari Malaysia,” katanya.

Sekalipun nama pemain tersebut tidak didedahkan, pihak SemuanyaBOLA cuba membuat carian dari beberapa sumber dan berkemungkinan besar pemain yang dimaksudkan adalah adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal iaitu Wan Kuzri.

Bapa Wan Kuzri, Wan Kamal sebelum ini pernah berkongsi dalam akan media sosialnya mengenai perkembangan anaknya itu yang sudah menyertai akademi Saint Louis Professional Football Club dan kini sedang beraksi bersama skuad B-19 pasukan itu.

Wan Kamal kemudian bergurau dengan mengatakan Wan Kuzri lebih ‘berbisa’ daripada abangnya, Wan Kuzain.

Pada 2017 Wan Kuzri juga pernah dipanggil untuk menyertai latihan bersama skuad remaja Amerika Syarikat di California.

sumber: semuanyabola

Dalam perkembangan lain, Kamarul Ariffin turut berkongsi mengenai persiapan pasukannya yang akan menjalani latihan di India pada Mac dan kemudian Perancis pada September.

“Kami telah menerima jemputan untuk menyertai Piala Perancis dan bakal menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang bertanding dalam kejohanan tersebut. Ia akan digunakan sebagai medan persiapan skuad negara sebelum menghadapi saingan di Tashkent.”