Adakah Ia Menutup Peluang Anak Jati Malaysia

KUALA LUMPUR: Isu pemberian status naturalisasi kepada pemain asing kembali hangat diperkatakan selepas pemain dari Kosovo, Liridon Krasniqi akan menjadi ‘import’ kedua Harimau Malaya.

Tidak dinafikan pelbagai pendapat disuarakan mengenai pengambilan pemain naturalisasi, ada menyokong dan tidak kurang juga yang membantah.

Persoalan sama bermain di fikiran peminat bola sepak tempatan ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk memberi taraf pemain tempatan kepada Mohamadou Sumareh pada 2018.

Malah, ada yang sudah lupa bahawa Sumareh bukannya rakyat asal negara ini apabila bersorak sakan ketika pemain kelahiran Gambia itu menunjukkan prestasi cemerlang di atas padang termasuk menjaringkan gol.

Impak positif sepanjang bersama Harimau Malaya menyaksikan Sumareh berjaya mempengaruhi sesetengah pihak termasuk penyokong untuk menerima kehadiran pemain asing dalam skuad kebangsaan.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini juga memberi penarafan atau ‘rating’ 10/10 kepada Sumareh berdasarkan aspek keseluruhan termasuk prestasi, sikap dan disiplin pemain berusia 25 tahun itu.

Justeru, antara persoalan utama yang muncul ketika ini adakah Liridon atau pemain naturalisasi yang seterusnya mampu memberikan impak setaraf atau lebih baik daripada Sumareh?

Apa yang pasti belum ada jawapan tepat untuk persoalan itu selagi Liridon tidak diuji dengan beberapa perlawanan kompetitif bersama Harimau Malaya.

Persoalan sampai bila mahu bergantung kepada pemain naturalisasi dan adakah ia menutup peluang anak jati Malaysia menyertai Harimau Malaya juga menjadi antara soalan ‘glamor’ diluahkan pemerhati dan peminat bola sepak negara.

sumber: BH

Hakikatnya, pengambilan pemain naturalisasi memberikan impak pro dan kontra terhadap masa depan bola sepak negara sama ada bagi jangka pendek dan jangka panjang.

FAM juga sebelum ini sudah menegaskan bahawa akan tiba masanya proses naturalisasi akan dihentikan selain pengambilan pemain berstatus naturalisasi hanya membabitkan bilangan kecil pemain berdasarkan keperluan bagi posisi penting dalam skuad kebangsaan.