6 Pasukan Liga Malaysia Yang Mengalami Kejatuhan Paling Teruk

Tahun 2019 bakal melabuh tirainya pada malam ini. Ia bermakna peminat bola sepak tempatan telah melalui pelbagai kenangan pahit manis dalam Liga bola sepak Malaysia sepanjang tempoh satu dekad.

Seorang peminat di laman sosial berkongsi pendapat mengenai senarai pasukan yang mengalami zaman kejatuhan yang paling t3ruk berdasarkan pemerhatiannya sejak 2010.

Pulau Pinang

Pada tahun 2010, Pulau Pinang kali pertama turun divisyen. Musim sebelumnya mereka juga berada di tangga ketiga terbawah. Musim pertama di Liga Premier, mereka tersingkir ke Liga FAM (divisyen 3). 2 musim di divisyen ketiga, sebelum naik ke Liga Premier dan Liga Super, namun hanya mampu bertahan 2 musim sahaja di Liga Super sebelum turun semula di Liga Premier sehingga sekarang

Kuala Lumpur

Skuad warga kota hanya bertahan selama 3 musim di Liga Super sejak tahun 2010. Kemudian mereka diturunkan ke Liga Premier dan turun lagi ke Liga FAM. Semusim di Liga FAM, mereka naik semula ke Liga Premier dan bangkit menjadi juara Liga Premier pada musim 2017.

Ketika beraksi di Liga Super selama dua musim, mereka layak ke suku akhir Piala FA sebelum diturunkan semula pada musim depan (2020).

Negeri Sembilan

Mereka mempamerkan prestasi cemerlang apabila muncul sebagai Juara Piala FA 2010, Piala Malaysia 2011, Piala Sumbangsih 2012, namun entah dimana silapnya pasukan itu mengalami kemerosotan prestasi sehingga diturunkan pangkat ke Liga Premier pada musim 2013.

4 musim di Liga Premier sebelum ‘dinaikkan’ ke Liga Super 2018 mengisi kekosongan pasukan yang menarik diri, namun hanya bertahan selama semusim. Mereka juga layak ke suku akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali dan pernah layak ke separuh akhir Piala FA.

Kelantan

Sebelum tahun 2013, pasukan ini sentiasa berada dalam kelompok 4 teratas Liga Super. Mereka muncul sebagai juara Liga Super sebanyak dua kali (2011,2012) dan naib juara Liga Super (2010).  Kelantan juga layak ke suku akhir kejohanan AFC Cup pada tahun 2012 dan kemudian mengalami zaman kejatuhan pada tahun seterusnya.

Pada tahun 2018 mereka beraksi dalam Liga Premier dan nyaris diturunkan pangkat ke Liga FAM pada musim 2019.

Sarawak

Sarawak merupakan naib juara Liga Premier pada tahun 2011 dan juara Liga Premier pada tahun 2013. Selama 4 musim beraksi dalam Liga Super sejak 2014 hingga 2017, mereka kembali semula ke Liga Premier.

Buat pertama kali dalam sejarah, Sarawak diturunkan pangkat ke Liga FAM pada musim depan setelah menghuni kedudukan tercorot dalam saingan Liga Premier 2019. Ia adalah rekod yang paling teruk sejak 2009.

Perlis

Suatu ketika dahulu, Perlis merupakan pasukan yang digeruni dalam Liga Malaysia. Pada tahun 2010, mereka hampir tersingkir daripada Liga Super namun pada musim 2011 mereka diturunkan ke Liga Premier.

sumber: vocketfc

Sejak daripada itu, mereka kerap naik turun Liga Premier ke Liga FAM sebanyak 2 kali. Tahun 2019 mereka sepatutnya bermain di Liga Premier namun mereka menarik diri kerana masalah kewangan yang serius. (pasukan negeri pertama tarik diri). 2010 adalah musim terakhir Perlis bermain di Piala Malaysia.

Sehingga kini skuad singa utara ibarat ‘tidak wujud’ dalam peta Liga Malaysia.